KUCHING, 22 Nov: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) menghadap secara individu di Istana Negara 10.30 pagi esok.
Dato’ Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ia merupakan lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada jam 4.30 petang hari ini.
Jelasnya, proses in adalah bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pelantikan Perdana Menteri dipermudahkan dan berialan lancar demi kepenfingan tanah air yang tercinta.
“Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya. -TVS