KUALA LUMPUR, 21 Nov: Barisan Nasional (BN) berkemungkinan tidak akan menyertai pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu bersama Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GRS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdasarkan perkembangan semasa dalam gabungan itu.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, gabungan itu wajar untuk terus berada dalam blok pembangkang.
Namun kata beliau, BN boleh menjadi ‘rakan mesra’ dalam mana – mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
“Keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat di mana BN diberi kebebasan dalam berbahas, menyokong atau menolak sebagai blok neutral bagi perkara yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak terlibat dengan perbincangan rasmi penubuhan Kerajaan Persekutuan baharu yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut mencadangkan agar BN menjadi pembangkang ketika ini.
Kata beliau, BN perlu memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa serta membela rakyat tanpa perlu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan PN.
“Serahkan urusan pembentukan kerajaan PN atau PH kepada mereka tanpa penyertaan BN.
“Perkara penting ketika ini ialah kesemua 30 Ahli Parlimen BN perlu bersama dalam setiap keputusan bagi mengelakkan perpecahan,” katanya. -TVS