KUCHING, 21 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus memberi keutamaan dan mempertingkatkan perlindungan bagi golongan wanita, kanak-kanak, warga emas, dan golongan kurang bernasib baik dengan model pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu akan membolehkan kerajaan mendekati semua lapisan masyarakat bagi memastikan keterangkuman.
Bagi merealisasikan perkara itu, beliau berkata pada 2023, kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai program jaringan keselamatan bagi membolehkan rakyat berdepan dengan cabaran hidup.
Program itu merangkumi RM52 juta untuk pelbagai bantuan kebajikan seperti bantuan am dan bantuan bencana, RM21 juta untuk program air percuma, RM15 juta untuk bantuan penjagaan selepas bersalin, RM12 juta untuk Kad Emas Kenyalang (KGC), bantuan ihsan kematian RM4,000 waris warga emas berumur 60 tahun ke atas, RM10 juta untuk Dana Endowmen Sarawak dan RM10 juta untuk bantuan kewangan bagi Caj Sambungan Elektrik.
Kerajaan Sarawak juga akan memberi geran khas RM4.2 juta untuk Kasih Suri Keluarga Malaysia yang akan memberi manfaat kepada balu dan wanita bujang yang berdaftar di bawah Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).
RM3.75 juta pula untuk program memperkasakan isi rumah berpendapatan rendah (e-Life) untuk membantu 750 penerima ke arah meningkatkan pendapatan mereka melalui usaha perniagaan kecil dengan menyediakan kit permulaan dan kemahiran keusahawanan.
RM3.5 juta untuk program kesedaran dan intervensi untuk program kesejahteraan masyarakat dan RM2 juta untuk Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) bagi membantu pesakit buah pinggang menjalani rawatan serta membeli lebih banyak mesin hemodialisis.
“Kerajaan Sarawak juga akan menyediakan peruntukan untuk mewujudkan pusat bagi masyarakat berkeperluan khas,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2023), 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kerajaan akan memperuntukkan RM500,000 untuk menubuhkan Haven for Homeless and Displaced Communities Centres di Bintulu dan Miri – pusat perlindungan transit untuk memberi bantuan dan perlindungan kepada individu dan keluarga yang menghadapi masalah sosial.
RM500,000 lagi akan diperuntukkan untuk kerja-kerja awal penubuhan Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) – sebuah pusat komuniti yang berfungsi bersepadu dan sehenti untuk komuniti berkeperluan khas. Konsep yang dibentuk untuk SNCC ini akan menjadi yang pertama di Malaysia.
Penubuhan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) akan diperuntukkan RM2.2 juta yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk isu-isu sosial, masalah, dan campur tangan untuk keluarga yang kurang bernasib baik, terdedah dan terpinggir serta individu seperti mempunyai masalah ketagihan, gelandangan, perceraian dan perkahwinan. – TVS