KUCHING, 21 Nov: Belanjawan Sarawak 2023 akan mengutamakan usaha untuk mempercepatkan pembangunan, memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang, serta menangani keperluan sosio-ekonomi dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat.
Dalam menangani keperluan sedemikian, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Negeri akan melaburkan jumlah yang besar daripada belanjawan negeri dalam pembangunan infrastruktur di seluruh negeri.
Baca artikel berkaitan: Sarawak peruntuk RM10.797 bilion bagi belanjawan 2023
“ Secara tidak langsung, peluang pekerjaan dan perniagaan akan diperbanyakkan lagi di seluruh negeri.
“Perkara ini seharusnya mampu memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur kerana ia akan mencerminkan strategi kerajaan untuk keluar dari kemelut ekonomi dan bagaimana ekonomi dapat dijana semula untuk kesejahteraan rakyat, ” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kewangan dan Ekonomi Baru melibatkan RUU Perbekalan (2023) 2022 pada Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari lagi, Kerajaan Negeri akan melaksanakan dan mempergiatkan pelbagai projek berjiwa rakyat.
“Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah Program Transformasi Luar Bandar dengan peruntukkan RM420 juta, Projek Rakyat dengan peruntukkan RM500 juta, dan Projek Khas yang dikenali sebagai Projek Kecil Luar Bandar dengan peruntukkan RM237 juta,” ujarnya lagi.-TVS