Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Belanjawan Sarawak 2023 dirangka berpandukan lima prinsip

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 21 Nov: Bajet 2023 bertemakan ‘Sarawak Didahulukan: Ke Arah Masyarakat Inklusif, Sejahtera dan Harmoni’ dirangka berteraskan lima prinsip.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lima prinsip itu merangkumi pembangunan ekonomi yang lebih kukuh, berdaya saing dan saksama dan membina Sarawak sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Prinsip itu turut menyentuh mengenai masyarakat pintar yang disokong oleh teknologi digital, pengetahuan dan inovasi; terus memupuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan penyayang di mana usaha tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang, dan terus merancang ke hadapan untuk kemampanan fiskal bagi memastikan keselamatan masa depan untuk anak-anak dan cucu serta generasi akan datang.

“Strategi fiskal negeri meneruskan pendekatan seimbang kami dengan menguruskan hutang secara berhemat, mengurangkan defisit yang disebabkan oleh perbelanjaan COVID-19 sambil membina semula dan menggiatkan semula ekonomi,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2023) 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, beliau berkata Belanjawan Negeri 2023 dirangka merentasi 11 teras strategik yang bertujuan memacu ekonomi negeri ke arah pertumbuhan lebih tinggi dan pembangunan pesat.

Sebelas teras strategik termasuklah untuk mencapai kemakmuran ekonomi; simulasi pertumbuhan ekonomi; menggalakkan pelaburan dan pembangunan perusahaan; mengubah Sarawak menjadi ekonomi berdaya saing dan membangunkan modal insan.

Ia turut mempergiatkan penggunaan digital dan penggunaan data; mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar; memperkukuh kebajikan masyarakat; meningkatkan budaya, sukan dan pembangunan belia; menggalakkan penyelidikan dan pembangunan, sains dan teknologi dan inovasi; meningkatkan kapasiti kerajaan negeri dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Menerusi 11 teras strategik ini, pelan pemulihan ekonomi negeri di bawah Belanjawan 2023 akan memberi tumpuan kepada mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan momentum pemulihan.

“Selain itu, ia juga akan memberi tumpuan kepada merangsang pelaburan swasta, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan serta membina pendapatan yang lebih berdaya saing dan menjana pendapatan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan