KUCHING, 21 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan lebihan negeri berjumlah RM10.797 bilion bagi Sarawak pada tahun 2023 dengan anggaran pendapatan RM11.035 bilion dengan tumpuan membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik COVID-19.
Menurutnya,daripada jumlah itu, RM3.997 bilion adalah untuk Belanjawan Operasi manakala sejumlah RM6.8 bilion adalah untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.
“RM938 juta atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan dan RM1.508 bilion atau 38 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan.
“RM1.343 bilion atau 34 peratus untuk geran dan bayaran tetap, yang termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan pihak berkuasa tempatan, membayar hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kewangan dan Ekonomi Baru melibatkan RUU Perbekalan (2023) 2022 atau Belanjawan 2023 pada Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru telah memberitahu bahawa sebanyak RM90 juta diperuntukkan untuk perolehan aset serta RM118 juta untuk perbelanjaan mengurus lain.
Berita selanjutnya bakal menyusul. – TVS