KUCHING, 21 Nov: Kerajaan Sarawak menyasarkan dapat menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025 dengan menambah baik perkhidmatan sedia ada termasuk meningkatkan liputan ke kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM26 juta akan diperuntukkan untuk projek bekalan elektrik pada tahun hadapan.
“RM12 juta untuk Penggantian Bateri dan komponen utama untuk sistem solar yang berdiri sendiri, RM8 juta untuk Bekalan Elektrik ke Sekolah-Sekolah Yang Belum Disambungkan daripada Grid Awam, RM4 juta untuk Dana Pemohon Lewat Tambahan (ALAF), dan RM2 juta untuk grid elektrik SARES ke Sarawak,” katanya semasa membentangkan Kewangan dan Ekonomi Baru melibatkan RUU Perbekalan (2023) 2022 pada Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata, terdapat projek bekalan elektrik yang sedang dijalankan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi pihak kerajaan yang dibiayai di bawah Pembiayaan Alternatif.
“Bagi bekalan air pula, sejumlah RM125 juta akan diperuntukkan pada tahun hadapan.
“Antara lain, Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II, Bekalan Air Mentah Betong, Pembinaan Rawatan Enapcemar untuk Loji Batu Kitang, Pembinaan Loji Salim Fasa III, Sibu, Pembinaan Loji No. 5 di Landeh dan Tangki Simpanan di Bukit Sipaya, Kuching, Pemulihan Loji No. 1 di Batu Kitang, Kuching, Pembinaan Tangki Air Simpanan Bukit Pancur, Serian, Sambungan Saluran Paip dari Ulu Oya Lama ke Sibu Barat dan Pembinaan Tangki Simpanan Sibu Barat,” ujarnya.
Selain daripada projek-projek berkenaan, Abang Johari berkata, Program Grid Bekalan Air Sarawak untuk Kawasan Tertekan yang dibiayai melalui inisiatif Pembiayaan Alternatif akan terus dipergiatkan.
“Sejumlah RM900 juta akan disediakan pada 2023 untuk melaksanakan projek berkenaan,” katanya lagi.
Projek tersebut merangkumi 100 juta liter Takungan Aras Pertengahan dan 9 juta liter aras atas di loji rawatan air Matang, penghantaran utama merentasi jambatan Batang Sadong ke Simunjan, penggantian saluran paip, penempatan semula, dan sambungan di Sebangan dan Sebuyau, dan kerja-kerja bersekutu, menaiktaraf loji rawatan air Bayong,
bekalan air ke Pulau Bruit, kerja-kerja pembesaran dan penambahbaikan loji rawatan air Kapit, bekalan air Kanowit fasa kedua, bekalan air Tinjar dan SAWAS fasa kedua. – TVS