KUCHING, 21 Nov: Sistem pengangkutan awam Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka dapat mengurangkan jejak karbon di bandar raya Kuching sebanyak 15 peratus menjelang 2030, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Sarawak kini dalam proses menambah baik sistem pengangkutan awam melalui pembangunan ART yang akan disepadukan dengan penyelesaian digital untuk mencipta pengalaman lancar bagi penumpang yang menggunakan sel bahan api hidrogen.
Beliau berkata kerajaan Sarawak mengambil berat tentang tanggungjawab sosialnya dalam usaha menjaga alam sekitar, mengekalkan kualitinya dan mengukuhkan daya ketahanan terhadap kesan perubahan iklim.
Beliau menegaskan bahawa reputasi dan imej Sarawak di seluruh dunia terikat kembali kepada impaknya terhadap isu alam sekitar, khususnya mengenai perubahan iklim.
“Memang tidak dapat dinafikan perubahan iklim adalah ancaman global dan negara kita tidak terkecuali.
“Sarawak yang mempunyai kawasan hutan terbesar di Malaysia dengan peluang penyerapan karbon yang besar, mesti memainkan peranannya untuk negara mencapai pelepasan sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023), 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Sarawak akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai Dasar Perubahan Iklim Sarawak dan Rangka Tindakan Masyarakat Rendah Karbon di Bandar dan Pekan di Sarawak dan Penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Ekonomi Hijau Sarawak.
Tambahnya lagi, beliau berkata sejumlah RM3 juta akan disediakan untuk tujuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak telah dikenal pasti sebagai satu wilayah berpotensi di dunia untuk tangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“CCUS boleh menjejaki pantas laluan ke pelepasan sifar bersih. CCUS melangkaui aplikasi bahan api fosil dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan dalam aset kuasa dan perindustrian sambil menyokong peluang ekonomi baharu yang dikaitkan dengan pengeluaran hidrogen dan ammonia rendah karbon,” katanya.
Tambahnya lagi, Sarawak baru-baru ini meluluskan Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan), 2022, yang membolehkannya membangunkan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkuasa untuk ekonomi rendah karbon.
Mengenai perkembangan lain, Abang Johari berkata 16,800 bebola terumbu telah ditempatkan di kawasan pantai Sarawak dari Tanjung Datu ke Lawas di bawah Projek Bebola Tukun Sarawak Fasa 1.
Beliau berkata ini bagi melindungi ekosistem marin dan sumber di perairan pantai Sarawak serta melindungi kawasan penangkapan ikan daripada aktiviti pukat tunda haram.
“Kerja penempatan bebola terumbu telah menyumbang kepada kehidupan masyarakat, pemuliharaan biodiversiti marin, perlindungan alam sekitar dan peningkatan sumber perikanan.
“Memandangkan kejayaan Fasa 1 projek itu, kerajaan negeri akan melaksanakan Fasa 2 dengan kos keseluruhan RM30 juta,” katanya. – TVS