KUCHING, 21 Nov: Selami perjalanan dan aspirasi usahawan tani moden Sarawak dengan rancangan siri dokumentari terbitan Glorysky Event Management, Agritek Musim Kedua.
Agritek memaparkan pengusaha, petani dan penternak moden yang menghasilkan produk menggunakan teknologi moden dalam usaha mereka merancakkan lagi ekonomi negeri Sarawak.
“Rancangan ini sedikit sebanyak akan membantu dan memberi impak yang kuat kepada pengusaha industri agrikultur di Sarawak selain memberi inspirasi kepada anak muda Sarawak yang ingin berkecimpung dalam bidang agrikultur,” kata pemilik idea asal, Mushammad Izzat Jailani.
Tambahnya, hal ini juga sejajar dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meningkatkan kualiti industri pertanian dan penternakan dalam negeri dan melangkah ke peringkat antarabangsa dengan menggunakan pelbagai peralatan yang moden.
Siri dokumentari yang mengandungi 13 episod ini bakal memperkenalkan industri berlainan yang wujud dalam sektor pertanian di Sarawak seperti industri ternakan arnab, buah kelapa, burung puyuh, buah tin dan bermacam lagi.
“Penggunaan teknologi moden di dalam bidang pertanian dan penternakan di negeri Sarawak telah menampakan hasil yang membanggakan namun usaha ini akan terbantut jika tidak diwarisi oleh golongan muda,” kata pengarahnya, Imraan Abdol Rahim, kepada TVS.
Agritek musim kedua bakal ditayang pada setiap Sabtu, jam 12:30 tengah hari mulai 26 Novermber ini, besertakan sarikata dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. – TVS