TANJONG MANIS, 20 Nov: Pemenang kerusi Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab beriltizam untuk bekerja dengan lebih keras meneruskan usahanya melengkapkan kemudahan prasarana di kawasan tersebut setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar di kawasan itu.
Beliau mengakui perjuangannya belum selesai dan akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ketika pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini.
Yusuf Wahab mewakili GPS mendapat sebanyak 16,474 undi menewaskan pencabarnya Zainab Suhaili dari Parti Amanah Negara (PAN) yang meraih 2,566 undi.
“Jumlah majoriti yang lebih besar ini memberi keyakinan bahawa saya akan berkhidmat dengan lebih kuat, tekun dan bertenaga lagi untuk membangunkan kawasan Parlimen Tanjong Manis seperti mana kawasan parlimen yang lain,” katanya ketika ditemui media di Tanjong Manis semalam.
Dengan majoriti keseluruhan sebanyak 13,908 undi, ia merupakan kemenangan kedua terbesar anak jati Kampung Paloh itu, selepas berjaya mengenepikan cabaran parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap terus mendapat sokongan semua pihak agar agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya semasa kempen terutama sekali kepada Pengarah Operasi, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalannya, Datuk Abdullah Saidol dan semua jentera parti di peringkat cawangan, di peringkat ranting dan semua sekali yang telah membantu,” katanya.
Beliau berkata pelan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan merupakan sebahagian usaha kerajaan menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat di kawasan itu dalam tempoh jangka panjang.
Malah, beliau mengakui perubahan yang berlaku hari ini tidak berlaku dalam sekelip mata sebaliknya melalui pelbagai fasa dan cabarannya yang tersendiri.-TVS