Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 Nov lepas mencatatkan pelbagai sejarah dalam pilihan raya negara ini termasuk pertama kali menyaksikan Parlimen tergantung atau hung Parliament. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Parlimen tergantung, tiada parti dapat majoriti mudah

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Barisan Nasional (BN) yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Dis selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 Nov.

Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan manakala SPR tidak dapat mengumumkan keputusan bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, juga disebabkan cuaca.

Situasi ini menepati ramalan penganalisis politik bahawa tiada parti memperoleh majoriti mudah selain menjangkakan kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan campuran.

Bagi pilihan raya umum kali ini, penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa 5 Okt lepas, menjadi penghalang kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menang untuk bertukar parti bagi memperoleh majoriti.

Menerusi pindaan Perlembagaan berkenaan, seorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti. Bagaimanapun ia tidak melarang mana-mana gabungan daripada bekerjasama dengan gabungan atau parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengekalkan kemenangannya di Parlimen Pagoh berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, kecuali PH, selain akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan beberapa parti untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Sementara Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataannya berkata mereka menerima dan menghormati keputusan rakyat.

Sementara itu, PRU15 ini juga memperlihatkan kemunculan beberapa giant killer apabila menumbangkan nama besar antaranya dua figura politik berpengaruh tanah air iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 96, di Parlimen Langkawi, Kedah dan Tengku Razaleigh Hamzah, 85, di Gua Musang, Kelantan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan