PUTRAJAYA, 20 Nov: Gelombang luar biasa dicetuskan Perikatan Nasional (PN) di Pantai Timur dan utara turut melemaskan ahli politik paling berpengaruh di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir, 97, yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Negara (Pejuang) mengalami kekalahan besar di Langkawi malah turut hilang deposit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.
Berdasarkan keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Mahathir sekadar menerima 4,566 undi.
Pada PRU-14, beliau yang memimpin Pakatan Harapan (PH) mencipta kemenangan sensasi menewaskan Barisan Nasional (BN) menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 8,893 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Suhaimi Abdullah merampas kerusi di pulau pelancongan itu dengan majoriti 13,518 undi.
Mohd. Suhaimi menerima 25,463 undi sekaligus mengatasi jumlah undi 11,945 yang diterima calon BN, Dato Armishah Siraj.
Wakil Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya turut hilang deposit apabila sekadar menerima 5,417 undi.
Calon bebas,Datuk Abd Kadir Sainudin turut mengalami kekalahan teruk apabila menerima undian terendah iaitu 89 undi.
Sementara itu, sidang media yang pada mulanya akan dilakukan oleh Dr Mahathir di Putrahjaya turut dibatalkan pada saat akhir. -TVS