PUNCAK BORNEO, 19 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin cemas seketika apabila kad pengenalannya tidak dijumpai ketika hadir di pusat pengundian di Sekolah Rendah Bantuan (SRB) Chung Hua Batu 15 Jalan Penrissen pada hari ini.
Beliau yang merupakan penyandang kerusi berkenaan, tiba pada pukul 8:33 pagi bersama isterinya, Datin Yee Chooi Ling, tidak dapat mencari kad pengenalannya sebaik sahaja tiba di kaunter pendaftaran.
“Pada awalnya saya tidak menjumpainya setelah mencarinya dalam beg dompet dan poket. Saya sedikit panik tetapi akhirnya menjumpainya dalam dompet yang ia terselit di belakang kertas,“ katanya ketika ditemui.
Setelah menjumpainya, beliau dibenarkan untuk membuang undi dan selesai melakukannya pada pukul 8:40 pagi.
Parlimen Puncak Borneo yang mempunyai jumlah pemilih seramai 79,969 menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Willie Mongin, Diog Dios daripada Pakatan Harapan (PH) dan Iana Akam daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB). – TVS