PUNCAK BORNEO, 19 Nov: Pengundi pertama kali merupakan antara pemilih terawal yang tiba di salah satu pusat pengundian bagi Parlimen Puncak Borneo iaitu di Sekolah Rendah Bantuan (SRB) Chung Hua Batu 15, Jalan Penrissen.
Tinjauan TVS mendapati walaupun tempoh pengundian belum bermula, terdapat golongan ini sudah mulai beratur seawal 7 pagi di pusat pengundian itu bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia, hari ini.
Kelihatan di lokasi, pasangan adik-beradik yang pertama kali mengundi, Siti Rohaizan Rizan, 20 dan adiknya Siti Rodziah Rizan, 18 merupakan pemilih terawal yang mengundi di pusat pengundian tersebut yang merekodkan seramai 1,595 pemilih mengundi di pusat tersebut.
“Perasaan saya sangat teruja untuk mengundi buat pertama kali kerana hari ini menjadi platform untuk anak muda menyuarakan pilihan mereka dalam pembentukan kerajaan baharu nanti,” kata Rodziah.
“Saya bersemangat untuk turun mengundi sebab saya nak pastikan suara anak muda kedengaran dan menerusi satu undi ini, ia menunjukkan hak kita sebagai rakyat untuk menentukan siapa pemimpin yang bakal mengetuai kita, “ kata Rohaiza.
Sementara itu, tinjauan di pusat mengundi SRB Chuang Hua, Siburan turut menyaksikan situasi yang sama iaitu golongan muda antara pemilih terawal yang hadir dalam kalangan seramai 9,402 pemilih di pusat tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), seramai 79,969 pemilih berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Puncak Borneo yang mana ia menyaksikan peningkatan pengundi sebanyak 33,669 bersamaan dengan 73 peratus berbanding PRU-14.
Pada pilihan raya kali ini, parlimen tersebut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga merupakan penyandang kerusi tersebut, Datuk Willie Mongin, calon Pakatan Harapan (PH), Diog Dios dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Lana Akam.
Terdahulu pada PRU-14, Willie Mongin yang bertanding di atas tiket Parti keadilan Rakyat (PKR) menang dengan majoriti 4,005 undi menewaskan calon dari Barisan (BN) dan STAR.
Setakat jam 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia memaklumkan, 31 peratus bersamaan dengan 6.5 juta pengundi sudah melaksanakan tangungjawab mereka.-TVS