KUCHING, 19 Nov: Pertama kali membuang undi, seorang orang kelainan upaya (OKU) penglihatan tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawabnya sebagai warganegara Malaysia, pada pagi ini.
Muhammad Alwi Tiong ,35, hadir di pusat mengundi di SJK Chung Hua Sg Tapang ditemani rakan baiknya bagi membantu untuk proses membuang undi.
“Saya berharap melalui proses membuang undi pada hari ini, saya boleh menentukan hala tuju negara serta saya juga menginginkan kerajaan baharu boleh membawa negara kita menuju hala tuju yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Berkongsi pengalamannya hari ini sebagai individu yang tidak boleh melihat seperti insan biasa lain dirinya tidak perlu memasuki bilik mengundi namun proses membuang undi dibantu oleh rakannya yang diamanahkan oleh beliau.
“Selepas itu saya juga perlu mencelupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya sebagai bukti seperti biasa,” ujarnya.
Tinjauan TVS menyaksikan proses membuang undi di pusat undi yang bertempat di SJK Chung Hua Sungai Tapang berjalan dengan lancar sejak pagi tadi. -TVS