BAU, 19 Nov: Pertama kali mengundi, Simon Hedwig, berasa teruja sebelum melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagi pelajar berusia 22 tahun itu, beliau banyak membaca dan menyelidik latar belakang dan tawaran sebelum memilih calon.
“Saya telah membuat perbincangan dengan rakan sebaya, ahli keluarga dan pensyarah mengenai apa yang berlaku pada masa sekarang.
“Saya juga melakukan pembacaan tersendiri untuk mengenali calon,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Rendah St. Teresa, Kampung Stenggang, Parlimen Mas Gading di sini, hari ini.
“Bukan saja saya teruja, malah abang dan kakak saya juga dikejutkan seawal jam 6 pagi untuk memastikan kami tidak lewat ke pusat pengundi bagi menunaikan amanah memilih pemerintah negara,” tambahnya lagi.
Turut berkongsi pengalaman pertama, Albert Alvinson, 18 tahun, berkata, keterujaan untuk mengundi buat kali pertama membuatkan dirinya gementar sehingga memerlukan ahli keluarganya untuk menenangkannya.
“Ini kali pertama saya mengundi, jadi macam-macam perasaan bercampur dalam diri ini sampai selesai tanda undi baru tangan saya berhenti mengeletar.
“Tapi apa pun ini satu pengalaman yang seronok bagi saya tambahan pula telah selesai lakukan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – TVS