BAU, 19 Nov: Dikurniakan anak istimewa Sindrom Down (SD), seorang ibu dari Bau menggalas tugas dengan cekal membimbing anak gadisnya menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di sini, hari ini.
Ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Serabak, Serikin, Alice Joseph,54, berkata, beliau bersama anaknya, Sharon Lisa Lee, 24, menurunkan undi bagi kawasan parlimen Mas Gading.
“Dia (Sharon) tahu cara mengundi dengan bimbingan saya sambil saya memberitahunya kalau ada nampak (apa-apa simbol pada kertas mengundi), orang itu akan jadi wakil rakyat,” katanya berkongsi kepada TVS hari ini.
Menurut suri rumah itu lagi, proses pengundian anak ketiganya itu berjalan dengan lancar meskipun ini merupakan pengalaman pertama Sharon mengundi.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu juga, walaupun anaknya itu sukar untuk bertutur atau berinteraksi namun anak istimewa berkenaan kelihatan bersemangat dengan bangun awal pagi tadi serta mengenakan pakaian yang kemas untuk pergi ke pusat mengundi bersamanya.
“Sebagai seorang ibu, memang menjadi satu tanggungjawab saya untuk mendedahkan mengenai proses pengundian kepada anak-anak supaya mereka dapat menimba ilmu dan memperoleh pengalaman yang luas hari ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Alice menyimpan harap agar suatu hari nanti anak-anak dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diberikan pendedahan kepada dunia politik.
“Saya berharap anak-anak OKU diberi ruang dan peluang untuk aktif dalam bidang politik agar mereka ini mampu mengutarakan isu berkaitan secara lebih mendalam,” jelasnya.
Alice juga mengharapkan agar mana-mana calon yang menang di kawasan parlimen itu akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, ikhlas dan amanah nanti. – TVS