KUCHING, 19 Nov: Dua peserta, Afif Tenor, dan Hasty, mara ke peringkat separuh akhir program Getaran Jiwa pada konsert minggu kelima yang bersiaran secara langsung dari Stadium MBKS, Bintawa malam tadi.
Menurut Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim, Hasty meraih kutipan 60.9 markah manakala Afif Tenor pula mendapat 56.1 markah.
“Sementara itu, enam peserta yang tidak berjaya ialah Yunadia (52.4 markah), Ameem (50.9 markah), Fadil (43.8 markah), Austin (39.5 markah), Megawati (38.7 markah), dan Hanz (37.5 markah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas konsert.
Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini bersiaran langsung setiap Jumaat selama 1 jam 30 minit bermula 8.45 malam.
Sebelum itu, pada jam 7.30 malam, kapsul Debaran Jiwa turut disiarkan menampilkan barisan personaliti TVS, Fattahbolh dan Siti Zawawi.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus oleh juri awam yang mengundi secara atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.
Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Dato Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Zarul Umbrella selaku juri jemputan.
Diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma, program lapan episod ini menampilkan lapan peserta berbeza untuk episod satu hingga episod lima.
Secara keseluruhannya, 40 peserta yang terpilih melalui pencarian bakat seluruh negara untuk bertanding dalam program ini bagi membawa pulang hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.
Ditayangkan secara siaran langsung di saluran 122 Astro dan MYTV, orang ramai juga berpeluang menonton konsert mingguan Getaran Jiwa LIVE di Stadium MBKS Bintawa. – TVS