KUALA LUMPUR, 18 Nov: Sesiapa pun yang bakal diangkat menjadi pemimpin melalui sistem demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, masyarakat perlu menerima, taat serta menyokong mereka selagi tindak-tanduknya tidak bertentangan syariat Islam.
Perkara itu diingatkan dalam teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut dibaca Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Azrul Ismail di Masjid Ibnu Sina Titiwangsa di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat perlu menunaikan tanggungjawab mengundi demi memastikan negara terus aman makmur dan sejahtera di bawah teraju pimpinan yang berwibawa.
Bersama tanggungjawab mengundi yang disempurnakan itu, beliau berkata rakyat akan terus berdoa supaya mereka dianugerahkan pemimpin yang bertakwa, amanah, bertanggungjawab, berintegriti, berwawasan tinggi, sentiasa berusaha membela rakyat dan setia berbakti untuk negara.
“Hentikanlah segala perlakuan yang merugikan seperti menimbulkan provokasi, menyebarkan fitnah, memaki hamun dan sebagainya. Marilah bersama kita kembali bersatu sebagai warga Malaysia yang cintakan kemakmuran,” katanya dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Tuntutan Memelihara Kemakmuran’.
Mohd Azrul berkata menyedari kepentingan menjayakan kemakmuran negara, usaha membangun dan memperteguh kemakmuran perlu dipergiatkan di segenap penjuru secara berterusan antaranya mewujudkan kestabilan politik, membina kemajuan negara serta menghentikan pertelingkahan.
Selain itu, memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dengan rakyat perlu memainkan peranan masing-masing termasuk para pemimpin berusaha gigih serta bertindak jujur mentadbir di samping membangunkan ekonomi negara.
Pada masa sama katanya, rakyat harus mengekalkan perpaduan dan menghindari perpecahan kerana kemajmukan masyarakat menambah keunikan Malaysia sebagai negara yang berdaulat.
Sementara itu, menerusi khutbah bertajuk ‘Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri’ yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini, umat Islam digesa supaya tidak memilih mereka yang terpalit dengan rasuah serta perbuatan pecah amanah.
Menurut khutbah itu, pengundi wajib meneliti calon terbabit sama ada individu berkenaan mampu mengangkat martabat dan memakmurkan negara selain mempunyai imej bersih serta bebas daripada rasuah.
“Pastikan juga calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah serta tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan,” menurut khutbah tersebut.
Khutbah itu juga mengingatkan orang Islam supaya bertekad menolak rasuah dengan tidak membenarkan diri boleh dibeli dengan sogokan wang hingga mereka memilih calon. -TVS