KUALA LUMPUR, 18 Nov: Rakyat Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka esok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat membentuk kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan tiga negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sebanyak 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi memudahkan proses itu, sejumlah 38,348 saluran disediakan di 8,958 pusat mengundi seluruh negara pada pilihan raya kali ini yang melibatkan kos RM1.01 bilion iaitu peningkatan kira-kira RM500 juta berbanding PRU14.
Proses demokrasi Malaysia, yang berasaskan sistem ‘first past the post’ itu, dimulakan menerusi pengundian awal yang dilaksanakan pada Selasa di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi yang melibatkan kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.
Menyedari kepentingan hak mengundi dan bagi memudahkan urusan orang ramai menunaikan kewajipan sebagai pengundi, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan hari ini dan esok sebagai hari kelepasan am, manakala Kerajaan Negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengumumkan cuti gantian pada Ahad.
Tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan kesihatan ramai, individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, mematuhi penjarakan fizikal selamat serta pulang segera selepas selesai mengundi.
Sebagaimana ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan selain menggunakan pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Dalam keadaan negara kini berhadapan dengan musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir di tujuh negeri membabitkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor manakala hujan di Kelantan, Perak, Sabah, Terengganu dan Labuan pada sebelah pagi hari pengundian.
Cuaca baik dilaporkan di Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah pagi.
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan banjir yang berlaku di beberapa negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata kerajaan sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi membantu mangsa dan menyelaraskan gerak kerja operasi di kawasan dan negeri terlibat banjir.
Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan PRU15, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen.
PRU-15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15). Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan pertandingan bagi Parlimen Padang Serai diadakan pada 7 Dis ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan M. Karupaiya pada Rabu.
Menyaksikan seramai 1,380 calon bertanding iaitu 939 (kerusi Parlimen), 434 (kerusi DUN Perlis, Perak dan Pahang) dan tujuh calon Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, PRU15 diamati paling sengit dalam sejarah demokrasi negara serta menjadi medan tempur parti politik dan rakan sekutu yang membentuk gabungan.
Pilihan raya kali ini menyaksikan gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain mengharapkan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun buat pertama kalinya layak menentukan kepimpinan negara.
Tidak kurang pentingnya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dikuatkuasakan bermula 5 Okt lepas.
Kempen PRU15 berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lepas dan diwarnai dengan pelbagai akviti ceramah, perang poster parti-parti politik, pendekatan konvensional bertemu pengundi selain penggunaan platform media sosial bagi meraih sokongan dibuat sehingga 11.59 malam, hari ini.
Memberi jaminan keselamatan pada hari pengundian, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Acryl Sani menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut sehingga mencetuskan spekulasi negatif.
Apa yang pasti, PRU15 yang diadakan bukan sekadar pelengkap proses demokrasi sebaliknya turut menjadi platform penting dalam memilih kerajaan yang stabil serta mampu mengemudi negara, termasuk mengharungi pelbagai cabaran seiring dengan unjuran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.
Tidak harus dilihat sebagai peluang menunaikan hak mengundi semata-mata, setiap pengundi pada PRU15 menggalas tanggungjawab besar dalam membuat pilihan tepat demi memastikan kelangsungan hala tuju, kejayaan serta kemakmuran negara. – TVS