Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRU-15: Rakyat Malaysia mengundi esok  

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal diketahui menjelang tengah malam Sabtu (19 November 2022), mungkin juga parti mana yang berjaya membentuk kerajaan diketahui pada masa sama.

PRU-15 membabitkan lebih 900 calon bertanding di 221 kerusi Parlimen di seluruh negara selepas Dewan Rakyat dibubar pada 10 Oktober lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari selepas penamaan calon pada 5 November. 

Satu kerusi, Parlimen Padang Serai, Kedah tidak akan diadakan bersekali dengan PRU-15, sebaliknya ditetapkan pada 7 Dis depan.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan ialah pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tewas, sekali gus gagal mempertahankan kedudukannya di Putrajaya.

Di Sarawak, 31 kerusi menjadi rebutan 92 calon daripada pelbagai parti – Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Perikatan Nasional (PN), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Bansa Malaysia (PBM), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Sedar dan calon Bebas.

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) pada Disember 2021, menyaksikan GPS pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menang di 76 daripada 82 kerusi. PSB dan DAP sekadar berpuas hati dengan masing-masing menang empat dan dua kerusi.

Belum sampai setahun selepas PRN-12, GPS kembali ke medan pertandingan bagi meyakinkan para pengundi untuk menghantar seramai mungkin Ahli Parlimen mewakili GPS ke Dewan Rakyat.

Pada PRU-15, DAP yang bertanding di lapan kerusi, menggunakan logo sendiri di Sarawak manakala parti-parti PKR dan Amanah menggunakan simbol PH.

PH bertanding di 22 kerusi, 11 calon Bebas di sembilan kerusi, PSB (10), PN (4), PBDS (3) manakala PBM, PBK dan Sedar masing-masing satu kerusi.

Antara calon orang kenamaan daripada GPS bertanding ialah Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof di Parlimen Petra Jaya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Nanta Linggi (Parlimen Kapit), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri (Parlimen Santubong).

Presiden Parti Demokratik Rakyat (PDP) Dato Sri Tiong King Sing bertanding di Parlimen Bintulu manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum di Parlimen Julau.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bertanding di Parlimen Stampin manakala Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh di Parlimen Sibu. 

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini hingga 9 Oktober lalu digunakan untuk PRU-15. Ia mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Di Sarawak terdapat 1,943,074  pengundi layak mengundi pada PRU-15 berbanding 1,220,960 pemilih yang direkodkan pada PRU-14 dan daripada jumlah itu seramai 975,618 orang adalah pengundi lelaki manakala pengundi wanita 967,456 orang.

Berdasarkan rekod SPR juga, seramai 825,791 orang adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun, manakala pengundi 18 tahun hingga 20 tahun adalah 129,034 orang.

Daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih berusia bawah 60 tahun iaitu seramai 1,539,645, manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas.

PRU-15 juga merupakan medan bagi menilai bagaimana golongan generasi 18 hingga 21 tahun (Undi 18) menggunakan saluran demokrasi dalam menentukan parti yang akan mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi.

Golongan berkenaan berdaftar sebagai pemilih secara automatik dan diwartakan sejak 15 Disember 2021, justeru ini adalah kali pertama Undi18 menunaikan tanggungjawab demokrasi menerusi pilihan raya umum.

Tidak lengkap berbicara soal pilihan raya tanpa menyentuh mengenai manifesto. GPS melancarkan manifesto pada 6 November yang mengetengahkan 25 teras perjuangan. Menerusi kata-kata Amanat Pengerusi GPS dalam buku manifesto yang bertemakan ‘Menjamin Sarawak Stabil, Maju dan Makmur’, Abang Johari berkata  PRU-15 menentukan hala tuju dan masa depan rakyat Sarawak dan Malaysia.

Sepanjang tempoh kempen, Abang Johari yang juga Premier Sarawak dan pemimpin-pemimpin GPS menekankan betapa pentingnya suara Sarawak lebih lantang di Dewan Rakyat dengan menghantar Ahli Parlimen seramai mungkin di Dewan Rakyat. Suara lebih lantang mustahak dalam mempertahankan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Di Sarawak, tempoh berkempen dimanfaat sepenuhnya oleh setiap parti bertanding. Semua parti diberi ruang yang sama rata untuk berceramah. Di sebalik kehangatan pilihan raya, tiada peristiwa buruk berlaku. Semua berjalan dalam suasana aman.

Semua parti politk yang bertanding di Sarawak diingatkan supaya tidak berkempen atau mengadakan ceramah selepas jam 11.59 malam ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, calon-calon dan parti-parti bertanding dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang dikuatkuasakan.

“Hari terakhir berkempen bagi PRU-15 akan tamat pada jam 11.59 malam ini, hari mengundi akan diadakan esok hari,“ katanya dalam kenyataaan pada Jumaat.

Menjelas lanjut, katanya, pihak polis bersedia sepenuhnya dengan menggerakkan seramai 7,701 pegawai dan anggota untuk penugasan pada hari mengundi esok.

“Ini bagi memastikan proses pembuangan undi berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, sebagai panduan untuk mengundi, cuaca pada Sabtu di 31 kawasan Parlimen di Sarawak diramalkan baik pada sebelah pagi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ribut petir diramal berlaku di 15 tempat di kawasan pada waktu petang.

MetMalaysia berkata kawasan berkenaan membabitkan Parlimen Kanowit, Sibu, Selangau, Hulu Rajang, Sibuti, Baram, Lawas, Igan, Julau, Lanang, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Kawasan Parlimen Mas Gading, Petra Jaya, Stampin, Puncak Borneo, Batang Sadong, Sri Aman, Betong, Tanjong Manis, Sarikei, Santubong, Bandar Kuching, Kota Samarahan, Serian, Batang Lupar, Lubok Antu dan Saratok pula diramalkan hujan.

Tunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan