KUALA LUMPUR, 18 Nov: Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi untuk mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata seramai 20,853,681 orang pengundi bakal mengundi pada PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Beliau berkata SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi esok.
Ikmalrudin berkata sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di semenanjung manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak atau waktu yang telah diwartakan.
“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh yang demikian, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Ikmalrudin berkata SPR juga menyarankan semua pengundi yang hadir esok untuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Ikmalrudin berkata SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok dan kesemua peralatan tersebut diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.
Beliau berkata semakan itu bagi memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.
PRU-15 akan diadakan di 8,958 pusat mengundi membabitkan 38,348 saluran dengan seramai 363,515 orang ditugaskan bagi proses pengundian.
Ikmalrudin berkata SPR juga mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau berkata SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini, justeru sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan.
“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi, kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Bagi pengundi yang positif COVID-19, Ikmalrudin berkata SPR sekali lagi menyarankan pengundi untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD), bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.
Beliau berkata SPR telah memaklumkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan dan notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi sebagai peringatan.
Ikmalrudin berkata SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
Menurutnya pelaksanaan tatacara pengundian baharu itu boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.
Selain itu, Ikmalrudin berkata semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.
Ikmalrudin berkata SPR juga menyarankan semua pengundi yang hadir esok untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya. – TVS