LIMBANG, 18 Nov: Rakyat Sarawak terutamanya anak-anak muda harus menjadikan tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara ini sebagai pengajaran berguna.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, selama 22 bulan rakyat menderita di bawah pentadbiran PH.
Malah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu janji lama yang didendang parti itu tidak mampu ditunai, apatah lagi tawaran manifesto baharu yang diperkenalkan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Runtuhnya dinasti 22 bulan Pakatan Harapan yang tiada harapan, kita dapat menilai 22 bulan bagaimana mereka memerintah yang mana banyak janji-janji yang tidak ditepati.
“Kalau orang Islam janji tidak ditepati itu bermakna mereka itu munafik,” katanya ketika berucap pada Majlis Sama Peduli Belia Cemerlang Anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Dewan Bunga Raya semalam.
Hadir sama ialah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Ujar beliau lagi, banyak janji yang tidak dapat tertunai bukan saja di Sarawak dan Sabah, malah semua rakyat tidak kira di mana merasai penderitaan di bawah pemerintahan PH.
“Banyak-banyak janji, jadi kita sebagai orang yang pandai berfikir mula-mula dia berjanji, kita bagi peluang, tetapi selepas itu dia tidak menunaikan dengan macam-macam alasan, bukan lagi dia kata tunggu dulu belum sempat tunaikan tapi dia kata tidak dapat menunaikan dengan terang-terangan dia memutuskan janji itu dengan pelbagai alasan,” tegasnya.
Malah katanya, banyak janji-janji manis, seperti menanam tebu dibibir yang dimainkan PH, namun rakyat tidak harus tertipu lagi.
“Contohnya hapuskan PTPTN tidak dapat, hapuskan tol tidak dapat, memang tidak boleh dihapuskan semua itu. Contoh kalau PTPTN itu dihapuskan bagaimana orang yang akan datang hendak meminjam,” jelas beliau lagi.-TVS