MIRI, 16 Nov: Kemudahan lampu isyarat disediakan di kawasan Southlake dan Vista Perdana bertujuan untuk melancarkan pergerakan lalu lintas setempat ketika waktu puncak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyangkal khabar angin yang tidak berasas daripada segelintir pihak mengenai penyediaan kemudahan itu bagi kemudahan golongan elit yang menetap di perumahan South Lake
“Lampu isyarat ini juga memberi manfaat kepada penduduk di Vista Perdana. Meskipun jalan di tepi perumahan Vista Perdana sedang dibina, penduduk di sana yang hendak bekerja ke Kuala Baram dan Lutong boleh melalui jalan ini bagi memendekkan tempoh perjalanan mereka,” katanya sambil berkata isu hanya timbul di kawasan seberang jalan iaitu masalahnya akan selesai apabila laluan masuk sementara siap dibina.
Beliau berharap rakyat akan lebih memahami mengenai isu ini dan sedar pihaknya berusaha memberi kemudahan yang sebaik mungkin kepada rakyat.
“Lampu isyarat ini sebenarnya memberi manfaat kepada penduduk di Vista Perdana terutamanya bagi mereka yang bekerja di Kuala Baram atau Lutong dengan memendekkan masa perjalanan mereka,” katanya kepada sidang media di JKR Pan-Borneo Office Riam mengenai isu lampu isyarat di Vista Perdana/Southlake pada Rabu.
Pada masa yang sama, beliau memohon agar orang ramai untuk tidak terus mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui media sosial.
Menurut beliau lagi ketika ini, laluan masuk sementara dibina oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di tepi kawasan lampu isyarat berdekatan lot-lot kedai berhampiran untuk masuk ke kawasan Vista Perdana bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas.
“Laluan ini di dalam proses pembinaan semenjak 15 November dan dijangka akan siap dalam masa sebulan sebelum perayaan Krismas menggunakan jalan itu sehingga projek jalan raya berkembar tetap akan siap dibina di kawasan jalan ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut membidas dakwaan kawasan perumahan itu hanya didiami golongan elit sahaja memandangkan kawasan itu hanya didiami sejumlah 3 peratus golongan tersebut serta selebihnya adalah penduduk golongan sederhana dengan rumah kos mampu milik dan lot perumahan yang masih kosong. – TVS