KUCHING, 17 Nov: Susulan insiden kebakaran membabitkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Long Ugui, dekat Lawas, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengarahkan kontraktor memberhentikan sementara kerja-kerja pembersihan tapak projek jalan Sabah-Sarawak.
Unit Lebuhraya Pan Borneo, JKR Sarawak menerusi kenyataannya hari ini berkata, arahan itu adalah untuk membolehkan siasatan terperinci dilakukan susulan kejadian mengorbankan satu nyawa dan tiga cedera.
Punca sebenar insiden kebakaran yang berlaku pada petang Rabu masih dalam siasatan.
“JKR Sarawak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan dalam membantu siasatan insiden ini dengan secara menyeluruh,” katanya.
Berita berkaitan
Letupan paip gas di Long Ugui, seorang maut tiga cedera
Kebakaran saluran paip gas di Lawas berpunca kerja-kerja pihak ketiga – Petronas
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak berkata, mangsa yang terkorban ialah Hadi Wiyono manakala tiga yang cedera Hendrick, Gabriel Meripa dan Jefry Paul.
Insiden itu membabitkan kebakaran satu jengkaut, satu jentolak, satu lori dan satu motosikal.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.49 petang.
Petronas berkata, insiden kebakaran membabitkan SSGP berpunca daripada kerja-kerja dijalankan oleh pihak ketiga.
Petronas menerusi kenyataan media berkata, pihak ketiga menjalankan kerja-kerja berdekatan kawasan izinlalu (Right-of-Way) SSGP.
“Kerja-kerja tersebut tiada kaitan dengan operasi saluran paip tersebut,” katanya.