KUALA LUMPUR, 17 Nov: Polis memberi jaminan keselamatan pada hari mengundi Sabtu ini, kata Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Ketua Polis Negara itu berkata, ketika ini pelbagai elemen telah digerakkan bagi memastikan kelancaran hari mengundi.
Kata beliau, setakat ini proses penamaan calon dan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjalan dengan baik walaupun terdapat beberapa insiden terpencil yang berjaya ditangani.
“Baki tempoh berkempen, keadaan keselamatan terkawal tanpa berlaku kejadian yang menggugat keselamatan awam,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Pada masa sama, Acryl Sani yakin proses pembuangan undi akan berlangsung dengan lancar.
“Polis telah mengambil segala langkah untuk memastikan rakyat dapat keluar untuk menunaikan hak mereka dalam suasana selamat,” katanya.
Sementara itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan berita palsu yang bertujuan untuk membangkitkan kegelisahan.
Mengikut daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 20,905,366 pengundi biasa layak mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka dan seterusnya menentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu pada Sabtu ini. -TVS