LUNDU, 17 Nov: Seramai 40 orang pelatih dan alumni Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu akan terlibat untuk membantu persiapan barisan jelitawan Pertandingan Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2022 (Miss Tourism International 2022 World Final) di sini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi CENTEXS, Syed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman mereka yang terpilih akan membantu kumpulan jurusolek dan jurugambar profesional sepanjang pertandingan berprestij itu berlangsung.
“Penglibatan pelajar dan alumni dalam penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa itu akan dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran dan porfolio mereka selepas bergraduan kelak,” katanya di Dewan Serbaguna CENTEXS Lundu, hari ini.
Dalam pada itu beliau memberitahu CENTEXS menawarkan program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk United Kingdom yang membolehkan lepasan CENTEXS diterima untuk bekerja di luar negara.
“Semua pendidikan yang ditawarkan di CENTEXS adalah percuma untuk rakyat Sarawak termasuk biasiswa dan prasarana kemudahan untuk pelajar,” jelasnya.
Hadir sama Presiden Miss Tourism International, D’Touch International Datuk Danny Oii dan Pengasas Kumpulan YAST Esther Law.
Majlis turut menyaksikan kehadiran 60 orang Ratu Cantik Pelancongan dari seluruh dunia diraikan dengan beberapa persembahan, antaranya pertunjukkan fesyen Songket dan Keringkam serta persembahan The Land of Unity. -TVS