KUCHING, 16 Nov: Sektor pelancongan di Sarawak kini dilihat sedang dalam satu transformasi yang positif sejajar dengan inisiatif yang berfokuskan kepada memacu ekonomi Sarawak.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidik dan Pengkormersialan) Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Qistina Donna Lee Abdullah, antara inisiatif kerajaan dalam memacu ekonomi pelancongan di Sarawak adalah pakej Sia Sitok Sarawak dan Sia Sitok Penginapan Sarawak.
“Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah memperkenalkan pakej Sia Sitok Sarawak 3.0 yang berjumlah RM1 juta pada Mac lepas yang mempunyai 25 pakej pelancongan.
“Kerajaan Sarawak memberikan satu dana yang mencukupi dalam membantu menjalankan projek-projek pelancongan di Sarawak bagi memajukan ekonomi pada tahun 2030,” katanya ketika ditemui dalam program bual bicara Malaysia Decides hari ini.
Pada masa yang sama, sektor industri kreatif dilihat juga berkembang sama dengan sektor pelancongan kerana sejak pembukaan sempadan selepas Malaysia dilanda wabak COVID-19, berbagai program berupa pelancongan ‘Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran’ (MICE) dianjurkan di Sarawak.
“Baru-baru ini kita menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah bagi pertandingan Miss Tourism International di mana pelbagai ratu yang bertanding adalah dari negara-negara yang lain.
“Mereka masing-masing membawa warisan, pakaian dan tekstil sendiri dan memperagakannya di pentas nanti dan kita begitu bertuah kerana dengan adanya pertandingan ini dapat membuka mata dunia melihat negeri Sarawak, khususnya bandar kuching,’ tambahnya lagi.
Dr Qistina percaya bahawa mereka juga dapat mengenali budaya dan warisan negeri Sarawak yang berbilang bangsa dan etnik ke negara mereka masing-masing.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah inisiatif Sia Sitok Sarawak yang dilaksanakan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah memperuntukkan sebanyak RM25 juta.
Katanya, peruntukkan yang diberi dalam bentuk diskaun, baucer dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni, akan dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Sarawak. – TVS