LIMBANG, 16 Nov: Satu undi amat berharga dalam menentukan masa depan negara, kata Fauziah Pudin, 43, yang akan turun menunaikan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.
Jelasnya, satu undi amat penting kepada rakyat Malaysia dalam menentukan hala tuju negara dengan memilih kerajaan yang tepat untuk menerajui negara ini.
“Sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai tanggungjawab dengan turun mengundi demi hala tuju dan masa depan negara yang lebih baik. Malah pepatah satu undi amat berharga menjadi suntikan semangat kepada saya untuk mengundi pada 19 November ini,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Fauziah yang juga penebar roti canai di bangunan Tamu Limbang berkata, beliau mengharap kerajaan yang dipilih nanti akan lebih cakna kepada keperluan rakyat dan melakukan perubahan yang lebih baik untuk Malaysia.
“Jangan sia-siakan peluang yang hanya datang lima tahun sekali. Setiap undi bukan sahaja penting untuk diri sendiri, tetapi juga demi generasi akan datang,” jelasnya lagi.
Beliau mula mengundi ketika berusia 32 tahun di kampung halaman sendiri, selepas lama menetap di Semenanjung Malaysia ekoran timbul kesedaran dalam dirinya sebagai warganegara Malaysia.
Fauziah turut menasihati golongan belia berusia 18 tahun yang akan mengundi kali pertama pada 19 November ini nanti agar memanfaatkan peluang tersebut untuk memilih kerajaan dan pemimpin yang berkaliber untuk memerintah negeri dan negara.
Bagi Mahani Yusop 67, dari Kampung Seberang Kedai golongan warga emas kini mempunyai kesedaran dan semangat tinggi untuk mengundi.
“Jika dulu kami mengundi kerana terikut-ikut dengan orang kampung yang turun pengundi. Tetapi sekarang, kami tahu setiap undi itu amat penting kerana undi kita akan menentukan siapa kerajaan yang akan mentadbir dan mencorakkan masa depan negara,” katanya.
Jelasnya sebagai rakyat biasa, mereka mahukan kerajaan yang stabil, mengukuhkan kembali kelembaban ekonomi yang menjeaskan golongan peniaga serta kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat naik.
“Kami yakin sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil, tidak akan mengabaikan nasib dan keperluan rakyat,” jelasnya lagi. – TVS