MUKAH, 16 Nov: Pengundi muda di Tanjung Manis yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) meluahkan perasaan teruja berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara.
Nur Swazwani Suhaili, 21, dari Kampung Rajang berkata, dia akan memanfaatkan peluang itu dengan sebaik-baiknya, apatah lagi ini merupakan satu keputusan besar dalam memilih kerajaan yang baharu.
“Sebelum ini, saya tidak berkesempatan berbuat demikian (mengundi) namun kali ini, saya berpeluang untuk menunaikanya, sudah pasti saya gembira dan teruja,” katanya kepada TVS.
Quraisha Pendita, 24, dari Kampung Jerijeh berkata, kesibukan tugasnya di Johor Baharu menyebabkannya tidak berkesempatan untuk membuang undi.
“Kali ini, saya sudah kembali ke kampung halaman dan sudah pasti, saya tidak akan mempersiakan peluang berkenaan. Bagi saya, suara anak muda juga amat penting dalam menentukan siapa bakal pemimpin negara,” katanya.
Turut bersemangat untuk mengundi buat kali pertama, Nur Ain Syafiqah Mazlan, 23, dari Kampung Rajang.
Menurutnya, anak muda juga mempunyai hak untuk memilih dan menjadi penentu selain ada pandangan serta pilihan sendiri.
“Walaupun tinggal di kawasan luar bandar tidak bermakna kami tidak boleh menunaikan hak kami sebagai pengundi. Sudah pasti saya gembira dengan peluang itu dan tidak sabar untuk turun mengundi pada 19 November ini.- TVS