KUCHING, 16 Nov: Seramai 2,053 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak telah berlepas ke 31 kawasan Parlimen seluruh negeri pagi tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,272 orang pegawai rendah polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Pasukan Gerakan Am Batalion 11, IP Briged, PULAPOL Kuching, Marin dan Pelatih Plak ditugaskan sebagai petugas-petugas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di seluruh Sarawak.
“Mereka ini bertolak dari IPK pada pagi ini manakala selebihnya akan bertolak dari formasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyempurnakan acara ‘Flag-off’ Bantuan Sumber Manusia sempena PRU-15 di IPK Sarawak, di sini hari ini.
Jelasnya, arahan penugasan telah diberikan kepada setiap Ketua Polis Daerah (KPD) dan mereka bertanggungjawab untuk membahagikan penugasan kepada pegawai-pegawai yang bertugas.
“Antara penugasan adalah menjaga peti undi dan menjumlah undi dan seterusnya mengawal keselamatan di tempat-tempat itu,” ujarnya.
Azman juga menasihati pegawai-pegawai yang bertugas untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri susulan keadaan cuaca yang tidak begitu baik sekarang. -TVS