TIGA hari lagi tempoh berkempen, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menutup tirai pesta demokrasi. Ia merupakan PRU yang paling sengit bagi menentukan pemimpin yang layak dan mempunyai kredibiliti untuk membantu negara bangkit daripada impak COVID-19 dan politik yang tidak stabil selepas PRU-14.
Negara menyaksikan dalam tempoh empat tahun selepas PRU-14 kita mempunyai tiga orang Perdana Menteri. Ini jelas menunjukkan bahawa politik di negara kita tidak stabil. Masalah ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup merupakan perkara yang membelenggu rakyat.
Ini merupakan kesan yang berpunca daripada politik tidak stabil. Ia memberi kesan terhadap perkara lain terutama ekonomi dan sosial. Pelabur dari negara luar sudah pasti tidak ingin mengambil risiko untuk melabur di sesebuah negara yang politiknya tidak stabil. Pelaburan asing amat penting bagi menjana ekonomi sesebuah negara.
Tidak dapat dinafikan masalah ekonomi ini berlaku di segenap pelosok dunia disebabkan pandemik COVID-19 dan perang Rusia-Ukraine, namun negara kita parah kerana politik yang tidak stabil menyebabkan tumpuan parti pemerintah hanya ingin memastikan kuasa kekal dalam tangan mereka.
Mereka lebih banyak memberi tumpuan kepada percaturan politik daripada menangani permasalahan rakyat. Pelantikan barisan Kabinet dan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan serta duta keluar negara yang mungkin teramai di dunia selepas
“Langkah Sheraton” menjelaskan bahawa percaturan politik demi mendapatkan sokongan dan dukungan Ahli Parlimen untuk terus berkuasa lebih diutamakan. Perkara ini hanya dilihat sebagai pembaziran wang rakyat kerana kebanyakan prestasi barisan Kabinet tidak memuaskan dan dianggap gagal.
Maka, pada PRU-15 ini rakyat sudah pasti sedar berkenaan dengan memilih pemimpin yang bakal mengemudi bahtera negara untuk bangkit semula.
Negara kita perlu bangkit supaya apa yang terjadi di Sri Lanka tidak berlaku di negara kita. PRU-15 ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan negara dalam mendepani cabaran yang kian sukar pada masa hadapan.
Hanya pemimpin yang berintegriti dan mempunyai kredibiliti serta cakna kepada permasalahan rakyat mampu membawa negara keluar daripada apa yang kita alami pada masa ini.
Kestabilan politik itu penting kerana ia berhubung kait dengan kestabilan ekonomi. Bakal Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada PRU-15 kali ini merupakan pembuat dasar yang akan menentukan hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Oleh itu, rakyat harus membuat pertimbangan yang tepat serta rasional dalam membuat pilihan, kerana mereka yang bakal terpilih ke Dewan Rakyat merupakan pembuat dasar yang sudah pasti memberi kesan kepada kehidupan seharian kita.
Apa yang pasti, dalam tempoh berkempen yang diberikan sudah pasti digunakan oleh para aktor serta parti politik yang bertanding bagi mengemukakan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat serta negara.
Bagi aktor serta parti politik yang tidak menitikberatkan mengenai penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi rakyat serta negara dalam berkempen harus ditolak. Rakyat harus tahu membandingkan antara retorik politik dengan realiti.
Pemimpin yang sering menggunakan isu perkauman serta agama juga harus diketepikan demi mencorak naratif baharu dalam pentas politik negara.
Dalam pada itu, kestabilan politik pasca-PRU-15 ini merupakan tunjang kebangkitan negara terutama daripada masalah ekonomi. Mandat yang jelas harus diberikan oleh rakyat kepada aktor serta gabungan politik yang bertanding agar mereka dapat memberi fokus memerintah negara.
Dalam erti kata lain, kemenangan yang besar harus diperoleh oleh mana-mana gabungan parti politik supaya ia dapat mencerminkan kestabilan. Niat sesebuah kerajaan yang stabil sudah pasti mampu untuk memberi fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat serta negara.
Negara amat memerlukan kepimpinan yang diterima di segenap pelosok dunia lahir daripada mandat yang diberikan rakyat. Pemerintah yang dipilih melalui sistem demokrasi pasti mendapat kepercayaan serta sokongan daripada pelbagai negara.
Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada penarikan para pelabur asing untuk berniaga di negara kita. Maka, kesan daripada lonjakan pelaburan asing ini dapat membantu negara bangkit daripada belenggu ekonomi.
Harus diingat, pakar ekonomi global menjangka ekonomi dunia akan lebih parah mulai tahun hadapan.
Negara kita sudah pasti tidak terlepas daripada bencana ekonomi ini. Oleh itu, pada PRU-15 ini rakyat harus memastikan bahawa politik kita stabil agar para pemimpin yang telah mendapat mandat rakyat dapat fokus bekerja untuk rakyat.
Apabila bercakap mengenai kestabilan politik ini, 31 kerusi parlimen yang dipertandingkan di Sarawak sudah pasti signifikan untuk menyumbang kepada impian membina kestabilan politik itu dapat direalisasikan.
PRU-15 adalah medan menentukan gabungan yang dapat membentuk Kerajaan Persekutuan. Kelebihan parti pemerintah di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak dapat dinafikan bahawa mereka mampu untuk menang banyak kerusi dan membuat tawaran terbaik untuk Sarawak dengan gabungan politik di peringkat Persekutuan.
Oleh itu, keinginan besar GPS di Sarawak untuk menang besar pada amat penting, dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang stabil. Namun, persoalannya, mampukah GPS merealisasikan impian mereka sebagai kuasa penentu kepada siapa yang bakal membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil?
Tamat pengiraan undi Sabtu ini bakal menjawab kepada persoalan berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi GPS.
Harus diingat, negara harus memastikan kestabilan politik itu terjamin. Ia penting untuk memastikan negara bangkit daripada permasalahan yang dihadapi terutama perkara yang berkaitan ekonomi.
Rakyat harus bijak membuat pilihan di peti undi Sabtu ini bagi memastikan pemimpin yang mempunyai kredibiliti serta integriti dapat diangkat sebagai seorang pemimpin yang mewakili suara dan hak kita. -TVS