KUCHING, 16 Nov: Sindiket mencuri pikap sekitar kawasan Kuching dan kawasan berdekatan tumpas dengan tangkapan tiga lelaki anggota sindiket ‘Geng Ah Ann’ berusia antara 29 hingga 41 tahun.
Ketiga-tiga anggota sindiket merupakan bekas tahanan Akta Pencegahan 1959 (POCA) yang dibebaskan tahun lalu aktif melakukan kegiatan mencuri pikap.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching iaitu Cat 2, 3 dan 4 diketuai oleh ASP Rozaiman dalam operasi bersepadu.
“Kesemua suspek mempunyai rekod siasatan lampau sebanyak 50 kes yang melibatkan dadah dan harta-benda.
” Kumpulan ini juga dianggap profesional kerana mereka menggunakan peralatan yang canggih serta mampu memintas peralatan keselamatan elektronik termasuk GPS yang terdapat dalam kenderaan, ” katanya ketika mengadakan sidang media di IPD Kuching) hari ini.
Katnya, pihak polis juga kini giat menjejaki dua lagi anggota kumpulan ini bagi membantu siasatan.
“Menerusi tangkapan ini pihak polis berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian pikap di Kuching dan kawasan sekitar melibatkan nilai kerugian RM 700,000.
“Kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Sekyen 382A dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda. -TVS