KUALA LUMPUR, 15 Nov: Proses undian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini dilaksanakan secara bersistematik, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Sehubungan itu, Acryl Sani turut berharap agar hari pengundian pada Sabtu juga akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Katanya, laporan itu diterima dari 661 pusat pengundi awal di seluruh negara yang diwartakan untuk anggota polis.
“Secara keseluruhan proses undi awal yang melibatkan 970 saluran juga dalam keadaan teratur,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 6,423 pengundi awal terlibat proses undian awal di Bukit Aman.
Dalam pada itu, Acryl Sani turut menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab mengundi selaras dengan asas demokrasi. -TVS