SIBU, 15 Nov: Sebanyak tujuh saluran di tiga pusat mengundi bagi kerusi Parlimen Sibu telah dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bermula jam 8 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, proses pengundian awal bagi anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu dijalankan di dua Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu melibatkan seramai 597 pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
“Pada pagi ini, pihak PDRM iaitu pegawai dan juga anggota khususnya IPD Sibu turun menunaikan tanggungjawab untuk undi awal dengan lebih kurang 597 orang pegawai kanan dan juga anggota khusus untuk IPD Sibu di mana diadakan di Wisma Pengaman di dalam IPD Sibu dan juga di Balai Sibu Jaya.
“Secara keseluruhan untuk kita di IPD Sibu ini kita ada tiga saluran pada pagi ini di mana proses pengundian awal ini bermula pada jam 8 pagi tadi sehinggalah pkul 5 petang nanti,” katanya ketika ditemui media di Wisma Pengaman, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu hari ini.
Parlimen Sibu akan menyaksikan saingan antara tiga penjuru iaitu Clarence Ting dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Oscar Ling dari Democratic Action Party (DAP) dan Wong Soon Koh dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Seramai 750 kekuatan tenaga anggota PDRM Sibu yang akan menjaga sepanjang proses pengundian PRU-15 yang akan berlangsung pada 19 November nanti. – TVS