KUCHING, 15 Nov: Program kempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Sri Aman berlangsung dalam suasana yang aman tanpa sebarang kes perlanggaran peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikesan setakat ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Mass Nur Haslinda berkata, tiada kes seperti merosakkan bahan kempen dilaporkan setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar.
“Program kempen di kerusi Parlimen Batang Lupar pun setakat ini aman dan tiada gangguan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pengundian Awal Parlimen Sri Aman, di Ruang Legar, Bahagian Jenayah Narkotik, IPD Sri Aman, hari ini.
Seramai 206 pengundi awal dijangka hadir ke IPD Sri Aman untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan setakat jam 11 pagi seramai 140 telah membuang undi di pusat tersebut.
Bagi pusat lain, di Sekolah Kebangsaan Meludok Kem, seramai 173 orang telah membuang undi daripada 183 orang dan bagi Dewan Jubilee Batallion 13 RAMD Kem Pakit pula, hanya 23 telah mengundi daripada 148 orang setakat jam 1 tengah hari.
Haslinda berkata, mengikut pengalaman pada pilihan raya sebelum ini, pusat selesai menerima undian seawal tengah hari, namun pusat pengundian akan ditutup pada jam 5 petang.
“Tetapi terdapat beberapa pengundi yang masih bertugas atau tinggal di kawasan jauh yang mungkin mengambil masa untuk sampai ke pusat mengundi,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai persediaan bagi hari mengundi pada 19 November nanti, Haslinda memberitahu pihaknya sudah bersiap sedia.
“Anggota bantuan yang bakal membantu sepanjang hari mengundi akan dihantar pada 16 November dan mula dikerahkan pada 18 November ke saluran masing-masing,” ujarnya. – TVS