BETONG, 15 Nov: Tindakan seorang calon di parlimen Betong yang didakwa menyemarakkan api politik perkauman sebagai usaha memacing undi dikecam tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mereka ialah ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam, ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman yang mendakwa tidakan calon tersebut boleh memecahbelahkan masyarakat setempat.
Menurut ketiga-tiga pemimpin berkenaan ketika berucap di Kampung Belingan dan Kampung Sebemban, Spaoh di sini bagi membantu calon GPS bagi kerusi parlimen Betong Dr Richard Rapu berkempen hari ini, mereka menentang bahaya politik perkauman dalam masyarakat.
Ketika menyeru pengundi untuk menolak politik sedemikian, Mohd Razi berkata GPS menawarkan platform terbaik kepada rakyat untuk mengukuhkan lagi perpaduan di negeri ini.
“Kita mempunyai pemimpin berbilang kaum dalam GPS dan mereka bukan sahaja memuji tetapi meningkatkan usaha satu sama lain dalam proses pembinaan negara dengan lebih baik,” katanya.
Mengulangi kepentingan kerajaan Sarawak merupakan usaha untuk memastikan Sarawak terus membangun, Mohd Razi menekankan perpaduan, keharmonian dan kestabilan adalah pra-syarat penting kepimpinan GPS.
Sementara Ibrahim menegaskan mengeksploitasi isu perkauman adalah seperti bermain api.
“Apabila ia tidak terkawal, ia boleh menjadi sangat bencana, oleh itu kita menghargai dan memupuk hubungan perkauman dan agama yang kukuh yang kita nikmati selama ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap rakyat menghayati keunikan perpaduan di negeri ini memandangkan katanya perkara berkenaan adalah keistimewaan Sarawak di mata orang luar.
“Janganlah kita terpengaruh dengan gaya politik keji yang dibawa masuk dari luar negeri,” tegasnya.
Manakala Fazzrudin mengingatkan rakyat Sarawak telah menjalani kehidupan dalam acuan keharmonian yang sempurna.
“Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik berbeza di Sarawak dan semua kita hidup bersama dalam keharmonian dan perpaduan yang sempurna,” jelasnya.
Langkah memancing undi menggunakan isu perkauman di Betong disifatkan Fazzrudin sebagai perilaku tidak bertanggungjwab selain mendatangkan bahaya dalam masyarakat.
“Saya sedih melihat tindakan untuk ambil perhatian dan meraih undi menggunakan isu perkauman di Betong ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fazzrudin menasihati para pengundi di Betong untuk berhati-hati serta tidak termakan dengan strategi meraih undi sedemikian ekoran situasi tersebut akan mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat.
GPS tegas Fazzrudin lagi menentang isu perkauman habis-habisan susulan amalan negatif tersebut meruntuhkan keharmonian dan perpaduan di negeri ini. – TVS