KUCHING, 15 Nov: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan menjadi landasan kepada golongan belia mendalami arena politik bagi menentukan masa depan negara secara keseluruhannya.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong Dato’ Sri Nancy Shukri optimis dasar SABERKAS yang disediakan oleh kerajaan negeri akan dimanfaatkan para belia sesuai dengan situasi semasa.
“Dasar ini akan menjadi panduan serta diteruskan para belia pada hari ini dan ditambah baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Sukan Saberkas (KASUS), Kuching di sini, pada Isnin.
Justeru, Nancy menyeru belia SABERKAS akan mengajak seberapa ramai golongan belia berusia 18 ke atas dan yang belum pernah mengundi untuk turun mengundi pada 19 November ini.
“Beberapa hari sahaja lagi, pastikan orang ramai semua mengundi GPS kerana hanya GPS, satu-satunya parti yang benar-benar memperuangkan hak anak-anak Sarawak dan masa depan negeri ini,” tegasnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi merangkap Timbalan Menteri Utiliti & Telekomunikasi. – TVS