KUALA LUMPUR, 15 Nov: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini berjalan lancar pagi ini.
Antara pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut membuang undi ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau tiba di pusat mengundi sekitar pukul 8.30 pagi tadi.
Pusat mengundi awal di Bukit Aman dibuka seawal pukul 8 pagi yang membabitkan lapan saluran mengundi bagi memudahkan petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, seramai 224,828 anggota tentera dan polis serta pasangan akan mengundi awal pada hari ini.
Jumlah itu merangkumi seramai 117,473 anggota tentera dan 107,355 polis serta pasangan akan mengundi di 578 pusat.
“Pusat Mengundi Awal yang telah ditetapkan SPR akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Namun terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal,” jelas SPR. -TVS