MUKAH, 15 Nov: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Mukah dijangka akan diumumkan sekitar jam 8 malam pada 19 November kelak.
Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mukah, Shafrie Saili, sebanyak 95 pusat pengundian akan dibuka dan ditutup pada pukul 5.30 petang pada hari tersebut yang akan melibatkan lebih kurang 850 petugas secara keseluruhan.
“Sekiranya tiada insiden, cuaca membenarkan dan perjalanan balik dari peti-peti undi pusat pengundian ke pusat pengiraan undi berjalan dengan lancar, kita boleh umum keputusan seawal 8.30 malam.
“Undi akan di kira di Pusat Kecermelangan Teknikal Sarawak (CENTEX) Mukah,” kata Shafrie ketika ditemubual TVS di Pusat Pengundiaan Awal Mukah, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hari ini.
Tiga saluran telah dibuka untuk tujuan undian awal yang melibatkan 202 anggota polis dan satu saluran untuk undian pos.
Berkenaan dengan undian pos yang lambat, Shafrie berkata, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah membuat sesi satu libat urus bersama pihak pos Malaysia.
“Kita jangkakan perkara ini kita akan kurangkan dari segi isu kerana pihak mereka telah menjanjikan kerjasama yang baik,” tambahnya lagi.
Setakat jam 12.00 tengah hari, peratusan keluar mengundi bagi kerusi Parlimen Mukah sudah mencapai 172 orang (85 peratus) daripada 202 orang pengundi awal. – TVS