LIMA hari menjelang pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, gabungan politik terus bersaing sengit untuk menawan hati pengundi di empat buah negeri di utara tanah air.
Secara keseluruhannya Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menawarkan 55 kerusi parlimen atau 24 peratus daripada 222 kerusi keseluruhan di Dewan Rakyat.
Daftar pemilih terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 5 035 230 pengundi di sana akan mencelup jari bagi memilih wakil rakyat mereka kali ini.
Di kalangan empat negeri ini, Perak memiliki pemilih tertinggi iaitu seramai 2, 036 827 orang dan diikuti 1 575 805 pengundi di Kedah.
Pulau Pinang akan menyaksikan seramai 1 226 626 pengundi terlibat dengan ‘Malaysia Decides’ manakala Perlis yang merupakan negeri terkecil di Malaysia, hanya memiliki pemilih seramai 195 927 orang sahaja.
Kejor Yeop Kejor, gabungan mana bakal kuasai Perak?
Negeri terbesar di utara ini memiliki 24 kerusi parlimen untuk direbut dan pastinya menjadi komponen terpenting bagi gabungan politik yang mengidam untuk menawan Putrajaya.
Mengimbau keputusan PRU-14, PH menang 13 kerusi di Perak manakala BN hanya menang 11 kerusi.
Pada PRU-15 ini, Perak menjadi titik panas bukan sahaja di utara malah perkembangannya turut diikuti oleh pemerhati politik dari seluruh negara.
Puncanya sudah pasti kerana dua seteru utama iaitu BN dan PH meletakkan ‘tokoh besar’ mereka di sini.
Di kem PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpindah dari Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan kini mengintai peluang untuk menawan kerusi Parlimen Tambun daripada Perikatan Nasional (PN).
Pada ‘asalnya’, Tambun dimiliki PH menerusi kemenangan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat (PKR – PH) pada 2018.
Namun demikian, Langkah Sheraton pada 2020 menyebabkan kerusi itu terlepas daripada cengkaman PH.
Di kem BN pula, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi turun untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.
PH mengatur strategi apabila Anwar ‘menghantar’ pahlawannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang digelar ‘Giant Killer’ untuk menamatkan penguasaan Ahmad Zahid di situ sejak 1995.
Bagi Ketua Kluster Bahagian Tadbir Urus dan Integriti, Kolej Undang – Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, beliau meramalkan situasi di Perak tidak banyak berubah pada PRU-15 ini.
Katanya, majoriti kerusi di kawasan bandar yang memiliki pengundi bukan Melayu yang tinggi akan terus dikuasai oleh PH.
Kata beliau, gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) dijangka menang di Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Gopeng dan Taiping.
“Bagi kerusi di luar bandar atau kawasan yang pengundi Melayu tinggi, BN masih mempunyai kekuatan dan dijangka akan menang di Gerik, Lenggong, Kuala Kangsar, Padang Rengas dan Parit,”katanya ketika dihubungi TVS.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kawasan yang mempunyai pengundi Melayu tinggi di Perak akan berlaku ‘pertempuran’ sengit membabitkan BN dan PN namun PH yang dijangka mendapat kelebihan.
“Jika sesuatu kerusi parlimen itu memiliki pengundi Melayu sekitar 70 peratus, kita tidak dapat menolak berlaku pecahan undi yang mana calon BN dan PH pastinya memerlukan undi bukan Melayu. Di sinilah PH untung,”katanya.
Ngauman Singa Utara di Perlis, faktor Shahidan Kasim dijangka bantu PN?
Selama ini Perlis dilihat sebagai fix deposit untuk BN namun ketika gelombang tsunami 2018, kerusi Parlimen Kangar buat kali pertamanya jatuh ke tangan PH.
Di pihak Pas pula, percubaan parti itu untuk menawan negeri paling hujung di Semenanjung Malaysia ini selama puluhan tahun seringkali berdepan kegagalan.
Bagaimanapun pergolakan dalam UMNO ketika ini menyaksikan muncul gabungan baharu iaitu PN yang dijangka mampu mencipta kejutan kali ini.
Sekadar berkongsi, maklumat oleh sumber penulis di Perlis memaklumkan, ketika ini hampir keseluruhan negeri yang hanya berkeluasaan 821 kilometer (km) persegi itu ditutupi bendera hijau yang memberi petanda bahawa PN dan Pas kini sedang berhabis – habisan menggempur Perlis.
Ahmad Martadha berkata, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai tokoh politik besar di Perlis dijangka akan memainkan peranan besar untuk mencipta kejayaan kepada PN.
“Saya dapati pengaruh Shahidan bukan sahaja di Arau bahkan sangat dikenali di seluruh Perlis. Oleh itu saya rasa berdasarkan pengaruh beliau, maka saingan yang sangat sengit akan berlaku di tiga Parlimen di negeri itu,”katanya.
Pada 2018, BN menang kerusi Parlimen Arau menerusi Shahidan dan kerusi Parlimen Padang Besar menerusi Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Zahidi kali ini digugurkan oleh BN menyebabkan beliau turun padang selaku calon bebas sekaligus menambah kehangatan di Padang Besar yang memiliki 60,192 pengundi.
Kerusi Kangar pula dimenangi oleh PH.
Penulis secara peribadi melihat di Perlis tidak mustahil akan menyaksikan keputusan seimbang iaitu BN, PH dan PN masing masing akan memenangi satu kerusi.
Parti mana kena pulun di Kedah ?
BN mempamerkan prestasi terburuk mereka di Kedah pada 2018 apabila hanya menang dua kerusi iaitu Baling dan Padang Terap.
Tsunami 2018 menyaksikan PH menawan 10 kerusi manakala tiga lagi dimiliki oleh Pas.
Begitupun gelanggang PRU-15 kali ini menyaksikan pertembungan empat gabungan utama iaitu BN, PH, PN dan Pejuang.
Berkenaan pertandingan di Kedah, Ahmad Martadha berkata, beliau melihat persaingan sengit akan berlaku di antara BN dan PN khususnya di kerusi luar bandar dan yang memiliki pengundi Melayu paling ramai.
Di pihak PH pula katanya, gabungan PKR, DAP, PAN dan Muda itu berkemungkinan besar mampu mengekalkan kerusi di kawasan bandar yang memiliki pengundi bukan Melayu yang ramai seperti Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.
Malah sedikit mengejutkan, penganalisis politik itu meramalkan kejutan mungkin berlaku di Parlimen Langkawi yang menyaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turun untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018.
“Di Langkawi, pengaruh Dr Mahathir masih ada namun berdasarkan keadaan kesihatan beliau serta ketidakupayaan untuk berkempen, pengundi di Langkawi mungkin melihat nasib mereka lebih baik di bawah BN dan (jika ini berlaku), sudah pasti BN mampu mewakili mereka,” katanya.
Pada 2018, Dr Mahathir menang di pulau legenda itu dengan majoriti 8,893 undi.
Kali ini seramai 66,777 pengundi yang majoritinya pengundi berusia 21 hingga 29 tahun akan menjadi penentu untung nasib lima calon yang menawarkan diri.
Secara keseluruhan, Ahmad Martadha berkata, persaingan sengit akan berlaku untuk merebut kerusi Parlimen Baling, Sik, Padang Terap, Jerlun dan Pokok Sena melibatkan BN dan PN.
Mampukan BN dan PN haria PH di Pulau Pinang ?
Penguasaan PH di Pulau Mutiara sukar untuk disangkal kerana mereka menang 11 daripada 13 kerusi Parlimen pada 2018.
BN hanya bernafas di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang dimenangi wakil UMNO namun hilang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor meninggalkan BN dan sertai Bersatu – PH selepas itu.
Ahmad Martadha berpandangan, PH tidak berdepan masalah besar untuk mempertahankan kerusi Jelutong, Bukit Bendera dan Tanjong yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang ramai.
“Pada masa sama, PKR juga dijangka membantu PH dengan mempertahakan kemenangan di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu parti itu,”katanya.
Di sebalik itu, katanya, BN mungkin mampu membuat kejutan dengan merampas semula kerusi Parlimen Balik Pulau yang dimenangi mereka pada 2013. -TVS
Disclaimer: The views and opinions expressed in this article are those of the author(s) and do not necessarily reflect the position of TVS