KAPIT, 14 Nov : Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh meminta penduduk di Lubok Antu untuk memberi sokongan penuh kepada Roy Angau Gingkoi, calon yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai itu berkata, pemilihan Roy sebagai calon GPS oleh pucuk kepimpinan parti GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tepat setelah meneliti kelebihan yang dimilikinya.
“Beliau (Roy) calon yang berpendidikan dan merupakan seorang peguam masih muda, baharu sahaja berusia 43 tahun. Jadi dengan ilmu yang beliau ada sudah pasti dia mahir tentang selok belok perundangan serta dapat mewakili suara belia.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memilih beliau setelah meneliti banyak perkara. Jadi saya berharap pengundi di Lubok Antu khususnya lebih terbuka untuk bertukar angin dengan menyokong calon GPS. Ini dapat mengubah persepsi dan visi kita,” katanya ketika ditemui pemberita semasa merasmikan Program Jum Regista Bisnes di Dewan Masyarakat Melayu di Kapit.
Beliau percaya Roy adalah calon wakil rakyat yang tepat membangunkan Lubok Antu untuk tempoh akan datang bagi manfaat rakyat di kawasan itu.
Untuk rekod, GPS tampil dengan 14 calon muka baru untuk PRU-15 kali ini termasuk Roy Angau Gingkoi.-TVS