Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
(Dari kiri) Saga Ngali, Sylvia Siah dan Banyoi Jawi. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Lebuhraya Pan Borneo memudahkan pergerakan penduduk Sarawak

ByYusuf Shukri

SELANGAU, 14 Nov: Projek Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau WPC08 yang dibuka kepada pengguna bermula hari ini bakal memanfaatkan penduduk di kawasan tengah Sarawak seperti Mukah, Balingian, Sibu dan Selangau.

Malah, projek yang diterajui oleh kerajaan Persekutuan juga mampu melancarkan pergerakan trafik Sibu ke Bintulu.

Menurut Tuai Rumah, Banyoi Jawi, lebuh raya tersebut telah memendekkan masa perjalanan dari rumah panjang ke pekan Selangau daripada satu jam kepada 30 minit sahaja.

“Banyak manfaat yang boleh diperolehi dengan memendekkan masa perjalanan ini. Kalau kita hendak menghantar orang sakit ke klinik misalnya, ia akan mengambil masa yang lebih kerana klinik yang terdekat berada di Pekan Selangau,” katanya.

Manakala bagi penduduk Stapang, Sylvia Siah berkata dengan adanya lebuh raya ini, mereka tidak lagi perlu menggunakan bot untuk ke pekan.

“Selalunya kami menggunakan laluan sungai. Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

“Harapan saya, semoga pekan Selangau lebih pesat membangun,” tambahnya.

Bagi Saga Ngali pula, lebuh raya Pan Borneo amat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Jalan ini menghubungkan Bintulu dan Sibu dan ini sudah pasti memudahkan kami yang tinggal di rumah panjang di kawasan Selangau ini, terutamanya apabila kami mahu pergi ke daerah lain.

“Saya harap jalan di kawasan kampung saya yang masih lagi berbatu dapat dinaik taraf supaya kami boleh menghantar barang-barang pertanian pergi ke bandar atau kilang,” ujarnya.

Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau WPC08 ini dibina sejak 1 November 2016 dan pembukaannya dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Abang Johari.

Kos keseluruhan seksyen ini adalah RM588 juta, yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 27 kilometer dan satu persimpangan bertingkat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan