SELANGAU, 14 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan Lebuhraya Pan Borneo, Pakej Selangau jelas membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan pimpinannya dalam membangunkan Sarawak.
Menurutnya, kabinet pimpinannya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mengambil keputusan untuk menyambung semula projek persekutuan yang dibatalkan sebelum ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, projek pembangunan besar lain yang dibatalkan PH namun disambung semula oleh kerajaan pimpinannya turut melibatkan projek jalan raya Trans-Borneo yang melalui Brunei dan projek Sabah-Sarawak Link Road yang tidak melalui negara itu.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan Sarawak akan tetap jadi keutamaannya selagi beliau menerajui kerajaan selepas PRU-15.
Beliau berkata keutamaan itu adalah mengambil kira soal peruntukan yang akan disalurkan kepada Bumi Kenyalang yang masih memerlukan banyak bantuan dari segi peruntukan untuk pembangunannya.
“Dari segi komitmen untuk menjaga Sarawak ini, tiada tolok bandingnya dengan kerajaan Barisan Nasional, kitalah yang menjaga kepentingan Sarawak,” katanya pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata bantuan untuk Sarawak memperbaiki infrastruktur sekolah daif dan klinik-klinik desa di negeri itu akan juga diteruskan, di samping penetapan sasaran bagi keseluruhan Sarawak mendapat capaian internet dalam tempoh dua tahun.
Bagi membolehkan perancangan diteruskan, Ismail Sabri berharap rakyat di Sarawak akan dapat memberikan sokongan penuh dengan memastikan mereka membuat pilihan yang bijak semasa PRU15.
“Kerajaan dipilih mestilah yang bertanggungjawab, bukan yang membatalkan projek. Jangan tersalah pilihan kerana yang merana adalah kita. Buatlah keputusan yang tepat dalam PRU-15 ini untuk membentuk kerajaan yang dapat membantu Sarawak,” katanya.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. -TVS