LIMBANG, 14 Nov: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengajak rakyat mengimbas kembali 22 bulan semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurutnya, sudah terbukti PH tidak mampu membela nasib rakyat dan projek-projek untuk rakyat di Sarawak dibatalkan mereka.
“Kita harus ingat dulu Malaysia dipimpin oleh Pakatan Harapan, nasib baik pimpinan itu hanya 22 bulan. Kita boleh lihat keadaan negara kita tidak tenteram dan politik juga kelam kabut.
“Ini juga dibuktikan dengan banyak projek dibatalkan termasuklah jambatan, membaik pulih dan membina baharu sekolah daif, bekalan elektrik dan air untuk luar bandar, telekomunikasi dan banyak lagi,” katanya pada Program Utamakan Sarawak, di Dewan Batu Biah di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Limbang Datuk Hasbi Habibollah.
Sementara itu, Awang Tengah memberitahu tujuan GPS ditubuhkan adalah supaya Sarawak tidak terikat dengan mana-mana parti yang tidak jelas kepimpinannya.
“Kita tidak lagi terikat dengan kemelut kerana kita boleh berdiri di atas kaki kita sendiri dan layak menentukan hala tuju Sarawak.
“Kita nak merancakkan pembangunan, menarik pelaburan, mengatur bagaimana kita boleh membantu masyarakat dan meningkatkan taraf hidup rakyat demi masa depan generasi muda kita. Itulah yang diperjuangkan GPS,” katanya.