KUCHING, 13 Nov: Hasil tenunan songket Sarawak menjadi penyumbang terbesar kepada 11.7 peratus eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi hasil eksport keseluruhan negara yang berjumlah RM124.3 bilion.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, produk tempatan tersebut memiliki nilai komersial yang tinggi sehingga mampu menembusi pasaran luar.
“Nilai estetika songket Sarawak ini menjadikannya antara produk tempatan yang mendapat tempat di pasaran luar negara.
“Kini songket Sarawak juga telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) di peringkat global sehingga mampu mencipta sosioekonomi tempatan dan menyumbang kepada ekonomi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Karnival Barangan Malaysia Zon Sabah/Sarawak 2022 di Tebingan Kuching semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dengan pencapaian yang telah diraih seperti itu, Nanta meminta rakyat Malaysia untuk bersama membantu dalam pembangunan ekonomi negara dengan menyokong barangan Malaysia.
Katanya, bagi membantu ekonomi kekal berlegar di dalam negara tanpa banyak pengaliran wang keluar, masyarakat perlu berbelanja di dalam negara dan barangan tempatan.
“Sudah tentu, sebagai pengguna di negara ini, kita pastikan setiap perbelanjaan juga adalah lebih nilai untuk wang, berpatutan dan berkualiti,” katanya.
Karnival Barangan Malaysia 2022 bagi Zon Sabah/Sarawak merupakan siri ketiga dan terakhir Kempen Beli Barangan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kempen yang bersifat berterusan ini adalah antara inisiatif strategik kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan. -TVS