MUKAH, 13 Nov: Golongan belia sebagai pewaris kepimpinan pada masa depan mesti didedahkan dengan maklumat yang tepat terutamanya berkenaan dengan perlaksanaan inisiatif kerajaan Sarawak.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, pendedahan itu tidak dapat dibuat dengan penggunaan platform sosial media sahaja, tetapi dalam sesi dialog supaya belia memahami dan dapat dinasihati jika mereka mempunyai maklum balas yang ingin diuatarakan.
“Ini adalah sesuatu yang penting, kerana selain daripada kepentingan golongan belia itu sendiri, segala perancangan kerajaan GPS sangat berkait rapat dengan masa depan Sarawak.
“Saya akan mengadakan sesi dialog bersama belia bagi menerangkan lebih mendalam lagi, apakah kepentingan mengundi dan apakah impak-impak program yang telah dan akan dilaksanakan,” kata, ” katanya ditemui TVS ketika melawat Tapak Pesta Kaul untuk program Cats Kaol hari ini.
Berkenaan dengan kempennya, Hanifah memastikan beliau meliputi kesemua kawasan di bawah parlimennya sama ada di kawasan bandar mahupun di pedalaman.
“Antara permasalahan yang diutarakan oleh penduduk di Parlimen Mukah adalah berkenaan dengan keperluan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, telekomunikasi dan jalan raya, beberapa projek sedang dilaksanakan tetapi kita masih belum puas kerana masih ada kawasan yang tidak mempunya bekalan elektrik.
“Bagi penduduk yang tidak mempunyai akses kepada air bersih untuk tujuan minum dan sebagainya, dengan adanya Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) projek-projek ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien,” katanya.
Hanifah juga berkata, kesan daripada pandemik COVID-19, semangat rakyat perlu dipupuk dan mereka perlu diberi ransangan untuk membangunkan ekonomi Sarawak bagi kesejahteraan bersama.
“Susulan daripada penularan COVID-19, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melancarkan Pelan Strategi Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030), selari dengan manifesto GPS teras ke-8 yang mengutamakan transformasi kawasan luar bandar, kampung dan rumah panjang. – TVS