KUCHING, 13 Nov: Program Samarindok Gunting Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) @ Petra Jaya 2022 membuka peluang kepada golongan belia di Sarawak untuk menonjolkan bakat mereka sebagai tukang gunting rambut.
Pengarah Strategik Program, Yusuf Jalli berkata, elemen pendidikan atau ‘barber talk’ merupakan penekanan utama yang diberikan kepada para peserta yang menyertai program tersebut.
“Seorang usahawan dan veteran di dalam industri gunting rambut yang dikenali sebagai Abang Bob, memainkan peranan besar mendidik dan mengadakan kelas intensif kepada anak-anak muda.
“Sekurang-kurangnya mereka ada pengalaman dari segi kemahiran dan teori serta bersedia memasuki industri menggunting rambut ini pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Samarindok Gunting AKYBMS @ Petra Jaya 2022 di sini, hari ini.
Tambah Yusuf, program sedemikian juga mendapat sambutan positif daripada para peserta dan wajar untuk dianjurkan lagi pada masa yang akan datang.
Turut hadir menyaksikan program tersebut calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, program tersebut turut mengadakan pertandingan menggunting rambut melalui dua kategori iaitu junior dan senior serta menawarkan hadiah trofi dan wang tunai kepada para pemenang.
Bagi johan kategori junior, Wan Mohammad Hasnan Wan Hadzeman, dia tidak menyangka usahanya membuahkan hasil sehingga dinobatkan sebagai tempat pertama.
“Pada mulanya saya hanya menyasarkan tempat 10 teratas, tetapi berjaya mendapat juara, saya berasa amat gembira dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan.
“Saya berharap acara seperti ini dikembangkan lagi oleh pihak penganjur agar dapat menarik lebih ramai belia mengenai aktiviti menggunting rambut di masa hadapan,” katanya.-TVS