KAPIT, 13 Nov: Permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit berkaitan pembinaan Anjung Usahawan di Bukit Goram dan Pasar Kapit akan dipertimbangkan untuk kemudahan peniaga di Kapit, demikian menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
“Saya mengambil maklum berkaitan permintaan Jefferson yang mewakili penduduk di ini berkaitan pembinaan dua Anjung Usahawan di Kapit. Jadi, Anjung Usahawan ini akan memudahkan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan mereka dan mungkin akan dibina dengan konsep terbuka. Ini bermaksud akan ada meja untuk makan dan kiosk-kiosk untuk peniaga.
“Infrastruktur perniagaan yang lengkap dan kondusif amat membantu memastikan kelangsungan ekosistem keusahawanan. Oleh itu kementerian saya akan sentiasa menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk usahawan tempatan merancakkan aktiviti ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jum Regista Bisnes di Kapit mewakili Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang beberapa inisiatif yang disediakan kementerian untuk membantu peniaga di Sarawak termasuk menyediakan geran, bantuan tunai, skim subsidi dan sebagainya.
“Dalam membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka, pihak kementerian telah menyediakan lebih 11 program. inisiatif ini termasuk memberi latihan, program pembangunan modal insan dan program pemasaran produk. Program ini memang sentiasa dilaksanakan, bukan hanya pada pilihan raya sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini terdapat satu Anjung Usahawan telah diluluskan di daerah Song yang menelan belanja sebanyak RM5 juta dan dijangka siap pada tahun 2025.
Sementara itu, seorang peniaga kuih kecil-kecilan, Clarine Eke,39, meluahkan rasa teruja dengan perancangan tersebut yang telah lama dinantikan.
“Bagi saya ini merupakan perancangan yang baik memandangkan peniaga kecil seperti kami memerlukan tempat yang selesa untuk menjalankan perniagaan. ini mungkin akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Monica Jerama, 29 tahun turut menanam impian untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan memiliki studio solekan di masa akan datang.
“Sekiranya Anjung Usahawan ini siap nanti, saya akan mendaftar menjadi peniaga di sana dan akan membuka studio solekan saya sendiri. Jadi saya berharap Anjung Usahawan ini akan cepat diluluskan dan dibina,” ujarnya.-TVS