Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Josephine Ping Lawai ketika ditemubual di kedai Pasar Tamu Kraftangan Kapit. Foto Febbright James (TVS).

Pasar Kraftangan Kapit sedia prasarana selesa untuk peniaga

ByFebbright James

KAPIT, 13 Nov: Kewujudan pasar tamu khas untuk peniaga kraf tangan menjadi pemacu pembangunan industri tersebut, di samping menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi peniaga di Kapit.

Menerusi tinjauan TVS, rata-rata peniaga meluahkan rasa syukur dengan inisiatif kerajaan menerusi Majlis Daerah Kapit yang menyediakan tapak berkenaan yang bertujuan untuk menghimpunkan peniaga kraf tangan di bawah satu bumbung.

Warna-warni hasil kraf tangan di Pasar Tamu Kraftangan Kapit.

Menurut Josephine Ping Lawai, 62, iaitu seorang pesara jururawat menyifatkan pasar tamu khas tersebut memudahkan pengunjung yang mahu membeli kraf tangan yang dihasilkan penduduk setempat kerana mereka hanya perlu pergi ke satu pusat sahaja.

“Saya bersyukur dengan adanya tempat yang disediakan oleh Majlis Daerah ini kerana pelanggan yang datang juga senang jika hendak mencari kraf tangan kerana hanya perlu pergi ke sini sahaja. Kadang-kala pelancong tidak ada kereta untuk pergi ke tempat berlainan. Lokasi ini juga sangat sesuai iaitu di tengah-tengah pasar Kapit.

“Kalau dulu, kami menjual hasil kraf tangan kami di Pasar Tamu Teresang dan bercampur dengan peniaga lain yang menjual sayur dan barangan keperluan harian. Ada juga diantara kami yang hanya duduk di lantai dan beralaskan tikar. Tapi sekarang tidak lagi menghadapi situasi berkenaan kerana kami sudah ada tempat yang selesa,” katanya ketika ditemui di kiosk jualannya.

Selain itu, Catherine Puso iaitu seorang lagi peniaga kraf tangan di Kapit yang turut mendapat manfaat hasil inisiatif sedemikian turut memaklumkan pusat berkenaan menetapkan harga sewa yang berpatutan dan tidak membebankan peniaga.

“Peniaga seperti kami ini mendapat banyak manfaat dengan adanya pasar khas ini sebab sewanya tidak begitu membebankan jika dibandingkan dengan kedai-kedai ataupun tapak yang lain. Jadi kami boleh meneruskan perniagaan kami tanpa perlu memikirkan bayaraan sewa yang tinggi,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerajaan akan menyediakan pelbagai inisiatif lain termasuk bantuan tunai bagi menambah modal perniagaan serta menyediakan kursus untuk memasarkan produk ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Isin Ibau, 41, turut berharap agar bilangan kedai ataupun kiosk di pasar tamu kraf tangan tersebut boleh ditambah pada masa akan datang bagi menampung bilangan peniaga kraf tangan yang semakin bertambah di Kapit.

“Selain mengharapkan pelanggan yang semakin ramai, saya juga berharap agar pasar tamu ini diperbesarkan lagi bagi menampung jumlah peniaga yang kian bertambah. Sebab kalau kita lihat, ada antara mereka yang baru memulakan perniagaan hanya bergantung dengan khemah kecil sahaja yang sedikit sebanyak berdepan masalah sekiranya hujan,” ujarnya.

Untuk rekod, Pasar Kraftangan tersebut telah siap dibina pada tahun 2021 dengan kos kira-kira RM50,000 yang dilengkapi dengan 12 buah kedai serta beberapa khemah untuk kegunaan peniaga. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan